179 Pasukan Sertai Kejohanan Petanque Sri Santubong
KUCHING: Sebanyak 179 pasukan menyertai Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong Siri Ke-18 dan Piala LANDAS, LCDA, PSPBK 2026 yang turut menerima penyertaan pemain dari luar negara.
Daripada jumlah itu, 118 pasukan bertanding dalam kategori Beregu Terbuka, manakala 61 pasukan lagi bagi kategori Beregu Wanita.
Kejohanan selama dua hari yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober di Arena Petanque Masjid Nurir Rahmani dan SMK Santubong itu menghimpunkan pemain dari pelbagai negeri di Malaysia selain peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Brunei dan negara-negara lain.
Penyertaan turut melibatkan pemain daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, selain kelab serta persatuan petanque.
Bagi kategori Beregu Terbuka, AM 01 muncul juara, diikuti LCDA 02 sebagai naib juara, manakala LKEPS dan LCDA 03 berkongsi tempat ketiga.
Dalam kategori Beregu Wanita pula, LCDA 04 muncul juara, diikuti Bintangor 01 sebagai naib juara, manakala Bintangor 02 dan LCDA 01 berkongsi tempat ketiga.
Juara Beregu Terbuka membawa pulang RM6,000, Piala Pusingan dan Piala Iringan, manakala naib juara menerima RM3,000 serta Piala Iringan.
Penganjuran kali ke-18 itu merupakan usaha berterusan untuk memperkembangkan sukan petanque serta menyediakan platform bagi mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu dalam sukan berkenaan.-EDISI UKAS