Majlis Daerah Bau Lonjak Ke Tempat Kelima Penarafan PBT Seluruh Negara
BAU: Majlis Daerah Bau (MDB) melonjak ke tempat kelima daripada 92 majlis daerah di seluruh negara dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Malaysia 2026.
Pencapaian itu turut menjadikan MDB sebagai majlis daerah berprestasi terbaik di Sarawak, selain melayakkannya menerima penarafan lima bintang selepas mencatat 91.61 peratus markah keseluruhan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, kedudukan MDB meningkat dengan ketara daripada tempat ke-63 pada 2024 kepada tempat kelima tahun ini.
“Ini menjadikan Majlis Daerah Bau berada di kedudukan pertama dalam kalangan majlis daerah di Sarawak,” katanya pada sidang media sempena penganugerahan SPB-PBT Malaysia 2026 di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Bau, di sini, pada Isnin.
Tambah Datuk Henry, peningkatan tersebut membuktikan prestasi MDB kini setanding dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, MDB mencatat peningkatan markah keseluruhan daripada 86.17 peratus pada 2024 kepada 91.61 peratus tahun ini.
Katanya, pencapaian itu merangkumi 12.13 peratus bagi aspek pengurusan, 41.50 peratus bagi perkhidmatan teras, 14.17 peratus bagi pengurusan pelanggan dan 13.83 peratus bagi penyertaan komuniti.
Selain itu katanya, MDB turut memperoleh markah penuh lima peratus bagi Public Service Corruption Ranking (PSCR) serta lima peratus bagi Sijil Bersih Ketua Audit Negara.
Datuk Henry memberitahu, kejayaan MDB merupakan hasil usaha bersama semua ahli majlis, pihak pengurusan dan kakitangan dalam meningkatkan tadbir urus, pengurusan serta penyampaian perkhidmatan.
“Majlis sentiasa melakukan semakan dan penilaian terhadap kerja yang dilaksanakan, selain mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada orang awam.
“Aduan daripada orang awam tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya membantu majlis mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki,” katanya. -EDISI UKAS