Mendiang Datuk Song Swee Guan Letak Asas Pembangunan Kuching Selatan
KUCHING: Mendiang Datuk Song Swee Guan dikenang sebagai tokoh yang memainkan peranan penting dalam meletakkan asas pembangunan dan pentadbiran Kuching Selatan, selain menabur khidmat bakti kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, mendiang merupakan seorang pemimpin yang rendah diri dan berdedikasi dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
Menurut beliau, sebagai Datuk Bandar pertama Kuching Selatan, mendiang memainkan peranan penting dalam membentuk asas pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
“Beliau meletakkan asas Kuching Selatan dan berkhidmat dengan baik untuk rakyat.
“Beliau juga merupakan tokoh yang sangat dikenali di Kuching,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghormatan Terakhir kepada mendiang Datuk Song Swee Guan di Chan Funeral Parlour di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.
Mendiang turut dikenang atas sokongan akar umbi yang kukuh selepas berjaya memenangi pilihan raya di kawasan Padungan dan Bandar Kuching.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan serta khidmat bakti mendiang kepada masyarakat.
Tambah beliau, mendiang kemudiannya dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan baik.
“Mendiang memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya, khususnya Bandar Kuching,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan kepada Sarawak yang telah menyaksikan khidmat dan sumbangan beliau dalam pelbagai kapasiti.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi tempoh berkabung.
Mendiang Datuk Song Swee Guan, 84, meninggal dunia pada jam 3.30 petang Ahad di Hospital Umum Sarawak.-EDISI UKAS