BorneoCraft Global 2.0 Kembali, Sasar 30,000 Pengunjung
KUCHING: BorneoCraft Global 2.0 bakal berlangsung dari 25 hingga 29 November ini di Tebingan Kuching dengan bertemakan “Crafting Tradition and Innovation”.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BCG 2.0, Datuk Snowdan Lawan berkata, seramai 200 usahawan kraf akan mengambil bahagian, terdiri daripada 30 usahawan luar negara, 30 dari negeri lain di Malaysia dan 140 dari Sarawak.
“Kami menjangkakan seramai 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran. Seramai 25 penceramah antarabangsa akan menyertai Simposium Antarabangsa pada 25 dan 26 November di Hotel Riverside Majestic.
“Mereka akan membentangkan sembilan sesi bertemakan pelbagai aspek, daripada warisan dan teknik kraf kepada pasaran, pendidikan dan pelancongan.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media BorneoCraft Global 2.0 di sini pada Selasa dan hadir sama Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Morshidi Fredrick.
Ujarnya lagi, BCG 2.0 turut memberi peluang kepada penggiat kraf mendapatkan pendedahan, pengetahuan dan akses pasaran, selain memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor pelancongan dan industri kreatif di peringkat global.
“BCG 2.0 memberikan apa yang paling diperlukan oleh penggiat kraf kita, iaitu pendedahan, pengetahuan dan akses kepada pasaran. Ia juga memperkukuh kedudukan Sarawak dalam peta pelancongan dan industri kreatif dunia.”
Katanya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kraf secara langsung, menyertai kelas master oleh artis antarabangsa serta menikmati persembahan kebudayaan dan muzik setiap hari di The Ruai Stage.
Selain itu, Premium Sarawak Pavilion akan menampilkan pelbagai hasil kraf Sarawak termasuk pua kumbu, songket, keringkam, hasil manik, anyaman bakul dan seramik.
BCG 2.0 turut menampilkan Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Kraf Antarabangsa pada 27 November serta Simposium Antarabangsa pada 25 dan 26 November.-EDISI UKAS