KUCHING: Sarawak menyasarkan Kuching sebagai hab strategik ASEAN dengan memanfaatkan kedudukannya di Borneo, diperkukuh jaringan hubungan udara, kemudahan persidangan, sektor hospitaliti serta infrastruktur moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, aspirasi itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menjadikan Kuching bukan sahaja sebagai pusat ekonomi Sarawak, malah pintu masuk strategik ke ASEAN, China dan Asia Timur.
“Objektif jangka panjang kita ialah Kuching menjadi hab ASEAN dan bukan lagi terhad kepada Malaysia, tetapi kita berkembang melangkaui Malaysia kerana kedudukan kita strategik di ASEAN,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching di sini pada Selasa.
Pada masa sama, beliau berkata, kapasiti pusat konvensyen dan hotel di Kuching akan terus dipertingkatkan bagi menyokong pertumbuhan sektor acara perniagaan, persidangan serta pelancongan antarabangsa.
“Ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik kita yang akan merancakkan industri pelancongan dan sektor perkhidmatan, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Apabila ekonomi berkembang dan dipelbagaikan, ia tidak hanya bergantung kepada sektor pelancongan, tetapi turut merangkumi sektor pembuatan dan sektor-sektor lain,” ujar beliau lagi.
Selain itu, beliau menjelaskan penggunaan identiti Borneo dalam penjenamaan kemudahan dan perkhidmatan seperti Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) serta AirBorneo mempunyai nilai strategik memandangkan nama Borneo lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Pengarah Urusan Kumpulan The Everly Group Dennis Tan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS