KUCHING: Pembukaan hotel baharu iaitu The Everly Lhesson yang menawarkan 238 bilik di sini dilihat membantu memperkukuh kapasiti penginapan bandar raya ini ketika permintaan terhadap kemudahan hotel terus meningkat susulan pertumbuhan pelancongan dan penganjuran acara berskala besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pertambahan kapasiti hotel amat diperlukan memandangkan Kuching kini menerima lebih banyak permintaan untuk menjadi lokasi persidangan, acara perniagaan dan program antarabangsa.
“Pada masa ini, kita memang tidak mempunyai bilik hotel yang mencukupi. Sebab itu banyak permintaan untuk menjadikan Kuching sebagai pusat acara perniagaan dan persidangan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching, pada Selasa.
Malah katanya, keperluan penginapan berkualiti akan menjadi semakin penting menjelang penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 apabila Sarawak menjadi antara tuan rumah bersama pada temasya tersebut.
Perkara ini susulan pengumuman Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini untuk menempatkan atlet dan pegawai kontinjen di hotel terpilih berbanding konsep perkampungan sukan bagi menyediakan penginapan yang lebih selesa.
“Maknanya kita perlu memberikan penginapan yang selesa kepada mereka yang datang ke Sarawak,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS