Korea Berpotensi Jadi Keutamaan Laluan Baharu AirBorneo
KUCHING: AirBorneo sedang meneliti potensi pasaran Korea dan Bangkok sebagai sebahagian usaha memperluas rangkaian penerbangannya, dengan permintaan serta muatan penumpang menjadi pertimbangan utama dalam menentukan laluan baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kedua-dua pasaran mempunyai potensi tersendiri, namun penilaian terhadap permintaan perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Bangkok memang sudah ada tetapi kita perlu mengkaji muatan dari Bangkok dan buat masa ini, Korea nampaknya lebih tinggi berbanding Bangkok,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian The Everly Lhesson Kuching di sini pada Selasa.
Menurut beliau, perbandingan antara kedua-dua pasaran penting bagi menentukan keutamaan pengembangan rangkaian AirBorneo berdasarkan potensi sebenar.
“Apabila dibandingkan kedua-duanya, lebih baik kita pergi ke Korea,” jelas beliau lagi.
Katanya, hubungan udara ke Bangkok ketika ini sudah disediakan oleh syarikat penerbangan sedia ada, justeru pengembangan rangkaian AirBorneo perlu mengambil kira permintaan serta keperluan melengkapkan kesalinghubungan udara sedia ada.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kapasiti AirBorneo akan ditingkatkan secara berperingkat daripada dua kepada lima pesawat bagi memenuhi keperluan kesalinghubungan udara Sarawak.
Penambahan kapasiti itu katanya, akan membolehkan AirBorneo meningkatkan kekerapan penerbangan berdasarkan permintaan, termasuk menjelang Sukan SEA 2027 apabila Sarawak menjadi antara tuan rumah bersama temasya berkenaan.
Beliau yakin kapasiti kesalinghubungan udara Sarawak akan terus bertambah baik menjelang Sukan SEA 2027, selain menyokong penganjuran acara antarabangsa lain termasuk World Water Congress & Exhibition 2028.-EDISI UKAS