Kapasiti Hospital Swasta Dipertingkat, Pacu Pelancongan Perubatan
KUCHING: Peluasan kapasiti hospital swasta di Kuching dijangka memperkukuh potensi bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan perubatan dengan menarik lebih ramai pesakit dari luar Sarawak mendapatkan rawatan berkualiti di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beberapa hospital swasta di Kuching sedang dan akan memperluas kapasiti masing-masing, sekali gus meningkatkan keupayaan bandar raya itu menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada pesakit dari luar Sarawak.
“Maknanya kita mempunyai perkhidmatan kesihatan berkualiti dan ini akan menarik pesakit datang ke sini dan mereka boleh menginap di hotel bersama keluarga serta berbelanja di sini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Hotel The Everly Lhesson Kuching di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur kesihatan itu perlu disokong kemudahan lain termasuk hotel, pengangkutan dan destinasi pelancongan bagi membentuk ekosistem pelancongan perubatan yang lebih lengkap.
Menurutnya, tempoh pesakit berada di Kuching tidak semestinya berakhir selepas menerima rawatan kerana mereka boleh meneruskan proses pemulihan di hotel sebelum mengunjungi lokasi pelancongan yang bersesuaian.
“Selepas mendapat rawatan di hospital, mereka boleh pergi ke kawasan itu untuk menikmati udara segar,” ujar beliau lagi.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, ekosistem bersepadu itu selari dengan usaha Sarawak mempelbagaikan sektor ekonomi menerusi hubungan antara industri kesihatan, hospitaliti dan pelancongan bagi mewujudkan peluang pertumbuhan baharu.-EDISI UKAS