KUCHING: Sarawak terus memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan pertumbuhan pelaburan negeri memberi limpahan ekonomi lebih besar kepada perusahaan tempatan.
Usaha itu diperkasa menerusi Master Plan to Enhance the Competitiveness of SMEs in Sarawak yang menyediakan hala tuju jangka panjang untuk meningkatkan daya saing, daya tahan dan kemampanan PKS di Sarawak.
Sesi simbolik pertukaran dokumen perjanjian pelan induk berkenaan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini pada Selasa.
Pelan induk tersebut memberi tumpuan kepada inovasi dan pendigitalan, akses pembiayaan dan pasaran serta pembangunan kapasiti dan pengukuhan ekosistem keusahawanan.
Ia sekali gus dijangka membantu perusahaan tempatan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan pelaburan menerusi penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi, pembangunan vendor dan penyertaan lebih luas dalam rantaian bekalan.
Bagi tempoh 2021 hingga 2025, Sarawak merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan diluluskan, manakala kira-kira RM11.2 bilion lagi diluluskan dalam sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan bagi separuh pertama 2026.
Selain itu, lebih RM950 juta telah digerakkan secara bersama oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dari Januari hingga Oktober tahun ini bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi pembiayaan, pembangunan kapasiti, latihan dan akses pasaran.
Kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan UNIMAS Holdings Sdn. Bhd. itu turut menyaksikan pelantikan enam ketua kluster.
Kluster berkenaan merangkumi Premis Perniagaan dan Inkubator, Pemasaran, Penyelidikan dan Inovasi, Dana Pembiayaan dan Peralatan, Digital serta Pembangunan Kapasiti.
Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan saiz ekonomi Sarawak kepada RM282 bilion serta pendapatan isi rumah median kepada RM15,000 sebulan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat (PKS) MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saidatu Akhma Hassan serta Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Perniagaan SME Corp. Malaysia, Czarif Chai Abdullah.-EDISI UKAS