SarawakPass Catat Pencapaian Baharu Integrasi Negeri-Persekutuan, Perluas Ekosistem Digital
KUCHING: Kerajaan Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan SarawakPass susulan kejayaan integrasi dengan MyDigital ID, selain peluasan perkhidmatan korporat menerusi integrasi single sign-on (SSO) dengan SEB Cares, Sarawak Water dan AirBorneo.
Bagi menandakan integrasi SarawakPass dengan MyDigital ID, Kerajaan Sarawak dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengadakan sesi pertukaran cenderamata di Pavilion Sarawak sempena International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026, di sini, pada Isnin.
Kerajaan Sarawak diwakili Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Datu Grace Huong Siew Hung, manakala NACSA diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Noursilawati Abdul Halim, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn. Bhd., Ir. Ts. Azrin Aris.
Sesi berkenaan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
MyDigital ID turut menyampaikan tanda penghargaan kepada Premier Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik antara MyDigital ID dan SarawakPass.
Menurut kenyataan SCSDU, integrasi dengan MyDigital ID berjaya dilaksanakan tahun ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan NACSA pada 28 November 2025 bagi memperkukuh kerjasama negeri-Persekutuan.
“Melalui integrasi ini, pengguna SarawakPass boleh mengimbas kod QR MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan web Persekutuan yang mengambil bahagian, manakala pengguna MyDigital ID boleh mengimbas kod QR SarawakPass untuk mengakses perkhidmatan web Sarawak yang mengambil bahagian.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, integrasi ini akan diperluas kepada aplikasi mudah alih terpilih yang menyokong MyDigital ID, membolehkan pengguna SarawakPass mengakses perkhidmatan berkenaan melalui SarawakPass,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, integrasi tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk rakyat, dengan MyDigital ID kini mempunyai 14.1 juta pengguna menerusi 203 integrasi.
“Melalui integrasi ini, SarawakPass membawa kepercayaan yang berteraskan asas identiti digital nasional lebih dekat kepada rakyat Sarawak, disesuaikan dengan keperluan Sarawak sendiri.
“MyDigital ID mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak atas pencapaian ini dan berharap dapat meneruskan usaha bersama untuk memperluas ekosistem ini,” katanya.
Dalam pada itu, SarawakPass turut diperluas kepada perkhidmatan korporat menerusi integrasi dengan SEB Cares, Sarawak Water dan AirBorneo, dengan penyertaan ketiga-tiga organisasi berkenaan dalam ekosistem digital itu turut diiktiraf menerusi penyampaian plak kepada wakil syarikat masing-masing.
Datu Grace berkata, SarawakPass bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan digital dengan menghimpunkan lebih banyak perkhidmatan dalam talian yang mudah digunakan menerusi satu log masuk yang dipercayai.
“Saya gembira SarawakPass telah berjaya diintegrasikan dengan MyDigital ID dan turut diperluas kepada AirBorneo, SEB dan Sarawak Water. Kita berharap lebih banyak penyedia perkhidmatan akan menyertai platform ini dalam usaha membangunkan ekosistem perkhidmatan digital yang lebih bersepadu.
“Masa depan perkhidmatan kerajaan bukan lagi sekadar meminta rakyat mencari sendiri perkhidmatan yang diperlukan, sebaliknya memahami keperluan mereka dan menyalurkan perkhidmatan yang bersesuaian secara selamat, telus serta dengan persetujuan mereka,” katanya.
Dengan lebih banyak organisasi dan perkhidmatan dijangka menyertai platform berkenaan, SarawakPass akan terus berkembang bagi menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
“Selain fungsi SSO, SarawakPass turut berperanan sebagai platform pemudah cara perkhidmatan yang membolehkan perkongsian maklumat dengan persetujuan pengguna serta penyampaian perkhidmatan yang lebih disesuaikan mengikut keperluan pengguna dan proaktif,” menurut SCSDU.
Dilancarkan pada IDECS 2025, SarawakPass berfungsi sebagai platform digital dipercayai Sarawak yang menyediakan akses selamat dan lancar kepada pelbagai perkhidmatan digital.
Menerusi SarawakPass, Kerajaan Sarawak berhasrat menyediakan perkhidmatan yang lebih bersepadu, mudah diakses dan berorientasikan pengguna, selain memudahkan urusan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri. -EDISI UKAS