TYT Sarawak Terima Warkah Persilaan Sambutan Hari Lahir Rasmi Ke-80
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tahun 2026 di Astana Negeri di sini pada Selasa.
Delegasi berkenaan diketuai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi selaku Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan perayaan itu.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah, selain memberikan taklimat mengenai persiapan serta pengisian sambutan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2026.
Pada kunjungan berkenaan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Induk serta semua pihak terlibat atas usaha dan komitmen dalam membuat persiapan bagi memastikan sambutan berkenaan berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Untuk rekod, sebanyak tujuh acara utama dijadualkan berlangsung sepanjang sambutan berkenaan, bermula dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek pada 8 Oktober, diikuti Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 9 Oktober.
Kemuncak sambutan pada 10 Oktober pula melibatkan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, Majlis Jamuan Negeri serta Konsert Rakyat.
Sambutan diteruskan dengan Majlis Jamuan Teh pada 11 Oktober 2026.
Turut menyertai kunjungan tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Maclaine @ Martin Ben serta Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep.
Turut serta, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Dato Georgina Apphia Ngau, Pengarah Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dr Suffian Jalet serta Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Abang Burhanuddin Abang Masuine.-EDISI UKAS