Tiga Projek Utama Perkukuh Pembangunan Komuniti Penan Metalun
MURUM: Tiga perkembangan pembangunan utama di Metalun, bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Metalun yang telah siap, projek menaik taraf jalan ke kawasan berkenaan yang sedang dilaksanakan serta pembangunan Stesen Pertanian Metalun yang kini dalam proses tender dijangka memperkukuh akses pendidikan, perhubungan dan peluang ekonomi masyarakat Penan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pembangunan berkenaan merupakan antara usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan penempatan semula Murum.
Menurut beliau, aspek pendidikan, infrastruktur dan pertanian perlu diperkasa secara seiring bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda Penan.
“Pendidikan membina generasi masa depan. Jalan membuka perhubungan. Pertanian membuka peluang ekonomi. Telekomunikasi menghubungkan masyarakat dengan dunia luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Adet Tulat Apu 2026 di Long Singu, Metalun, pada Isnin.
Kennedy berkata, usaha meningkatkan capaian telekomunikasi di kawasan berkenaan turut penting bagi memastikan masyarakat mempunyai akses lebih baik kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi berasaskan digital.
Katanya, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh kapasiti masyarakat supaya manfaat pembangunan dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa supaya terus mengutamakan pendidikan anak-anak dan menggalakkan generasi muda Penan melanjutkan pelajaran serta meningkatkan kemahiran.
Menurutnya, generasi muda berpendidikan dan berkemahiran penting untuk meneruskan pembangunan komuniti serta menyumbang semula kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Kennedy berkata Pesta Adet Tulat Apu turut memainkan peranan dalam memelihara warisan dan memperkukuh perpaduan masyarakat Penan.
Beliau berkata nilai gotong-royong yang menjadi sebahagian daripada tradisi Adet Tulat Apu perlu diteruskan dalam konteks pembangunan masyarakat masa kini.
“Dahulu kita bergotong-royong mendapatkan sagu untuk kelangsungan hidup. Hari ini kita perlu bergotong-royong membina masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Murum Penan Development Community (MPDC), Sarawak Energy Berhad (SEB), ketua-ketua masyarakat, agensi kerajaan serta penduduk Long Singu atas kerjasama menjayakan Pesta Adet Tulat Apu 2026.-EDISI UKAS