DEBAK: Kemudahan lampu limpah di Padang Riveria, Debak membuka ruang kepada penganjuran aktiviti sukan pada sebelah malam, sekali gus memberi nafas baharu kepada perkembangan bola sepak dan aktiviti komuniti di kawasan Saribas.
Kemudahan berkenaan dimanfaatkan menerusi penganjuran Saribas Cup 9A-Side 2026 yang berlangsung dengan sambutan menggalakkan daripada pasukan serta peminat bola sepak sekitar Saribas dan kawasan berdekatan.
Pengerusi Kejohanan Saribas Cup 9A-Side, Nazri Ahmad berkata, kemudahan lampu limpah tersebut membolehkan kejohanan tahun ini mencatat kelainan apabila perlawanan dapat berlangsung pada waktu malam.
“Walaupun Daerah Debak merupakan sebuah daerah yang terletak agak terpencil, kejohanan Saribas Cup tetap mampu menarik perhatian pasukan dan peminat bola sepak.
“Ini merupakan julung kali kejohanan diadakan dengan adanya kemudahan lampu limpah di padang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kejohanan Saribas Cup 9A-Side 2026 di Padang Riveria, Debak, pada Ahad.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesesuaian padang untuk penganjuran kejohanan, malah berpotensi memberi manfaat lebih luas kepada komuniti setempat dalam melaksanakan aktiviti sukan.
Nazri turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Razi Sitam atas usaha menyediakan kemudahan tersebut yang disifatkan mampu menyokong perkembangan bola sepak di kawasan berkenaan.
Dalam kejohanan itu, Sebangan FC muncul juara kategori terbuka selepas menewaskan Frenz FC 3-1 pada perlawanan akhir.
Kemenangan tersebut membolehkan Sebangan FC membawa pulang RM3,000 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan dan pingat, manakala Frenz FC menerima RM2,000, Piala Iringan dan pingat sebagai naib juara.
Hermanos dan Bungin Team berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM1,000 serta pingat.
Bagi kategori veteran, Sessang Tigris muncul juara dengan hadiah RM1,500, piala dan pingat, diikuti Sniper N29 (Kampung Pusa) sebagai naib juara dengan RM1,000 dan pingat.
VET69 Beladin menduduki tempat ketiga dengan RM750 serta pingat, manakala Sampat FC di tempat keempat dengan RM200 dan pingat.
Saribas Cup 9A-Side 2026 turut menjadi platform menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan, selain mengeratkan hubungan komuniti dan menyokong perkembangan bola sepak di kawasan Saribas.-EDISI UKAS