KMKK Penting Pastikan Keperluan Rakyat Disampaikan Kepada Kerajaan
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam memastikan isu serta keperluan penduduk di peringkat akar umbi disampaikan kepada kerajaan untuk diberi perhatian dan ditangani secara berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata, kedudukan KMKK yang dekat dengan komuniti membolehkan mereka memahami permasalahan penduduk dengan lebih dekat sebelum disampaikan kepada pihak berkaitan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara pemimpin dan KMKK perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
“Sebagai ahli majlis, saya sentiasa berkata bahawa kita hendaklah bekerjasama dengan erat bersama KMKK. Mereka paling dekat dengan komuniti dan bersama-samalah kita menyampaikan perkhidmatan serta mencari penyelesaian kepada segala cabaran yang dihadapi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Melissa Gendu, Sungai Aup, Batang Igan, di sini, pada Isnin.
Kevin berkata, pertemuan secara langsung bersama penduduk melalui program berkenaan memberi peluang kepada pemimpin mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu dan keperluan masyarakat.
Katanya, interaksi bersemuka turut membolehkan penduduk menyuarakan permasalahan secara terus, sekali gus membantu pemimpin dan KMKK memahami keperluan masyarakat dengan lebih dekat.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara KMKK perlu melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, termasuk masyarakat Iban, Cina dan Melayu.
Beliau berkata semangat perpaduan antara masyarakat turut menjadi asas penting dalam usaha membawa Bawang Assan dan Sibu ke arah pembangunan yang lebih maju dan makmur.
Katanya, rumah panjang dengan ruai sebagai lambang perpaduan mencerminkan semangat kebersamaan yang perlu terus dipertahankan.
Hadir sama, Temenggong Stanley Gramong, Kapitan Tan Ching Teck dan Tuai Rumah Melissa Gendu.-EDISI UKAS