MDLA Dicadang Laksana Kutipan E-Sisa, Minyak Terpakai Dua Kali Sebulan
ENGKILILI: Program pengumpulan barangan elektronik dan minyak terpakai dicadang dilaksanakan secara berkala sehingga dua kali sebulan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar.
Setiausaha Politik Premier Sarawak, Kua Jack Seng, berkata inisiatif berkenaan wajar diteruskan oleh Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) sebagai usaha membudayakan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti itu bukan sahaja membantu mengurangkan pembuangan sisa secara tidak terkawal, malah memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar,”katanya ketika berucap pada MDLA One Health Promotion 2026 Community Outreach Program di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Kua berkata program K2AS merupakan antara platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat.
Beliau turut menekankan peranan penting Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memastikan keselamatan masyarakat, khususnya menerusi aspek pencegahan dan kesedaran berkaitan kebakaran.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan mesej dan dasar Kerajaan Sarawak kepada masyarakat, termasuk pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bermula tahun 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menerapkan nilai inklusiviti dan tanpa diskriminasi bagi memastikan masyarakat dapat hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati.-EDISI UKAS