KMKK Disaran Perbanyakkan Program Randau Bersama Rakyat Kawasan Seliaan
SIMANGGANG: Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diminta memperbanyakkan Program Randau sebagai platform memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Program Randau turut memberi ruang kepada Kerajaan Sarawak menyampaikan maklumat sahih berkaitan pembangunan, dasar serta perancangan kerajaan kepada masyarakat setempat.
“Program Randau ini bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan hubungan antara dua pihak malah bertindak sebagai platform buat Kerajaan Sarawak untuk berkongsi maklumat usaha pembangunan terkini, dasar dan rancangan memaju penempatan rakyat.
“Atas sebab itu, saya meminta Persatuan KMKK komuniti Melayu, Cina dan Iban di DUN Simanggang bertindak lebih aktif mengadakan Program Randau ini agar rakyat menimba lebih banyak maklumat pembangunan yang sahih serta terkini di penempatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kuih Bulan anjuran Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di sini pada Ahad
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menggesa Pergerakan Wanita dan Pemuda SUPP Cawangan Simanggang mempergiat aktiviti turun padang bagi mengenal pasti permasalahan rakyat dan menyalurkannya kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda SUPP Simanggang mampu menjadi jentera yang baik dalam membantu menyelesai masalah hidup rakyat dan menyumbang kepada usaha pembangunan Kerajaan Sarawak di penempatan mereka,” katanya. -EDISI UKAS