Tiga Projek Jalan Pertanian RTP Tebedu Berjumlam RM450,000 Siap Sepenuhnya
TEBEDU: Tiga projek pembinaan dan naik taraf Jalan Pertanian menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu siap dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM450,000.
Projek berkenaan melibatkan Jalan Pertanian di Kampung Pichin, Kampung Jenan dan Kampung Payau Burus yang kini telah diserahkan kepada komuniti setempat melalui ketua kaum masing-masing.
Majlis penyerahan tapak projek siap serta dokumen projek daripada kontraktor kepada ketua kaum diadakan di ketiga-tiga lokasi berkenaan pada Selasa, disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Serian.
Menurut Dr Simon, penyediaan Jalan Pertanian penting bagi memudahkan pergerakan pekebun dan petani ke kawasan pertanian, selain melancarkan proses membawa keluar hasil dari ladang dan kebun.
“Jalan Pertanian bukan sahaja memberi kemudahan dari segi perhubungan, malah membantu pekebun dan petani mengurangkan kesukaran untuk membawa keluar hasil pertanian,” katanya.
Beliau berkata, projek seumpama itu akan terus diberi perhatian bagi menambah baik kemudahan asas yang diperlukan masyarakat luar bandar.
Katanya, kemudahan yang lebih baik di kawasan pertanian juga dapat membantu pemilik tanah dan pekebun meningkatkan produktiviti serta menyokong pendapatan keluarga. -EDISI UKAS