Taraf Sosioekonomi Penduduk Parlimen Selangau Terus Menunjukkan Perkembangan Positif
KUALA LUMPUR: Taraf sosioekonomi penduduk di daerah pentadbiran Selangau terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah isi rumah berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) berkurang pada 2024 berbanding 2022.
Berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah isi rumah miskin di Selangau berkurang kepada kira-kira 1,000 isi rumah pada 2024 berbanding 1,100 isi rumah pada 2022.
Dalam tempoh sama, insiden kemiskinan mutlak di daerah itu menurun daripada 19.6 peratus kepada 17.2 peratus, manakala kadar kemiskinan tegar berjaya diturunkan daripada 0.6 peratus kepada sifar peratus.
Perkembangan positif turut direkodkan di Mukah dan Tatau yang merangkumi sebahagian kawasan Parlimen Selangau.
Di Mukah, jumlah isi rumah miskin berkurang daripada kira-kira 1,500 kepada 1,300 isi rumah, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 14 peratus kepada 11.9 peratus.
Tatau pula merekodkan pengurangan jumlah isi rumah miskin daripada kira-kira 400 kepada 200 isi rumah, dengan kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 5.9 peratus kepada 2.6 peratus.
Kedua-dua daerah itu turut mencatatkan kadar kemiskinan tegar sifar peratus pada 2024.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Ekonomi dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15.
Sebelum itu, Edwin meminta kementerian menyatakan kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar terkini bagi Parlimen Selangau berbanding kadar Sarawak dan nasional, termasuk jumlah isi rumah yang berjaya keluar daripada kategori berkenaan sejak 2023.-EDISI UKAS