Dewan SK SLDB No.1 Siap Dinaik Taraf, Tingkat Keselesaan Warga Sekolah, Komuniti
MUKAH: Projek naik taraf Dewan Berbumbung Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) SLDB No.1 yang telah siap kini menyediakan kemudahan lebih selesa untuk kegunaan warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kemudahan yang menelan kos sebanyak RM380,000 itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan, kokurikulum dan kemasyarakatan.
“Penyediaan kemudahan yang lebih baik dan selesa adalah penting dalam menyokong kelancaran aktiviti sekolah, selain menyediakan ruang yang bersesuaian bagi program melibatkan murid, guru, ibu bapa serta komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi penyerahan siap projek berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kepada wakil Guru Besar SK SLDB No.1 di sini pada Selasa.
Royston menambah, dewan yang telah dinaik taraf itu boleh dimanfaatkan untuk perhimpunan, kegiatan kokurikulum, program PIBG, majlis rasmi serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, penggunaan kemudahan tersebut secara bersama juga dapat memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti menerusi penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Mukah, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah dan komuniti bagi memastikan kemudahan pendidikan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik serta dimanfaatkan secara optimum.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Mukah, Nur Hidayah Kassim, wakil JKR Bahagian Mukah, Yazid Muztaba, wakil PPD Mukah, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Tellian, Jay Keram serta wakil kontraktor M3 Solutions. -EDISI UKAS