Akses, Parkir SMK Three Rivers Dipertingkat Menerusi Projek RM300,000
MUKAH: Akses dan kemudahan parkir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers kini dipertingkat menerusi projek naik taraf bernilai RM300,000 yang telah siap dilaksanakan, sekali gus menyediakan persekitaran lebih teratur dan selesa kepada warga sekolah serta pengunjung.
Projek berkenaan melibatkan penambahbaikan jalan masuk dan tempat parkir bagi kegunaan warga sekolah, ibu bapa, pelawat serta komuniti yang berurusan di sekolah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penyediaan infrastruktur yang baik di kawasan sekolah penting bagi memastikan pergerakan kenderaan keluar masuk dapat dilakukan dengan lebih teratur, khususnya pada waktu puncak dan ketika berlangsungnya program sekolah.
“Dengan siapnya projek ini, saya berharap kemudahan jalan masuk dan tempat parkir ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah serta semua pengguna.
“Pada masa sama, aspek penyelenggaraan dan penjagaan kemudahan ini perlu diberi perhatian supaya ia dapat terus digunakan dalam keadaan baik untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi penyerahan siap projek berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kepada Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan, pada Selasa.
Menurut Royston, kemudahan parkir yang lebih baik dan teratur dapat membantu melancarkan pergerakan kenderaan serta mengurangkan potensi kesesakan, terutama pada waktu puncak dan ketika program melibatkan ibu bapa serta komuniti setempat.
Katanya, peningkatan kemudahan tersebut turut menyokong aspek keselamatan dan keselesaan pengguna, selain membantu mewujudkan pengurusan kawasan sekolah yang lebih sistematik.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Mukah, pihak pengurusan SMK Three Rivers, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah.
Beliau berkata, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah dan kontraktor penting bagi memastikan pembangunan prasarana pendidikan dilaksanakan mengikut keperluan semasa serta memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti.-EDISI UKAS