RUU Pembangunan Sukan 2026: Hak Atlet & Integriti Sukan Perlu Diperkasa
KUALA LUMPUR: Tiga aspek utama melibatkan tadbir urus badan sukan, kelayakan atlet Para SUKMA dan kawalan sampel antidoping perlu diberi perhatian dalam memperkukuh ekosistem sukan negara yang lebih adil, telus dan berintegriti.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan Kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 yang dibahaskan pada Bacaan Kali Kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau, aspek pertama membabitkan kuasa untuk mengisytiharkan atau membatalkan pendaftaran badan sukan yang perlu diperjelaskan bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara Menteri, Pesuruhjaya Sukan dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau berkata, tindakan tegas sememangnya perlu diambil terhadap persatuan yang melakukan kesalahan serius, namun proses siasatan, hak untuk didengar, prosedur undang-undang yang adil serta mekanisme rayuan perlu terus dijamin.
Menyentuh kelayakan atlet Para SUKMA, beliau mencadangkan supaya faktor umur tidak dijadikan satu-satunya syarat dalam menentukan kelayakan seseorang atlet untuk bertanding.
Menurutnya, atlet berusia 45, 46 atau 50 tahun yang masih sihat, memenuhi klasifikasi ditetapkan, mempunyai tahap kecergasan baik serta mencapai piawaian prestasi sewajarnya diberi peluang untuk terus bertanding.
Katanya, pengalaman atlet senior juga boleh dimanfaatkan untuk membimbing dan membantu pembangunan generasi atlet lebih muda.
Dalam pada itu, Datuk Willie turut membangkitkan keperluan Malaysia memiliki kemudahan kawalan sampel antidoping sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar negara yang diakreditasi Agensi Antidoping Dunia (WADA).
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan mengkaji penubuhan Makmal Kawalan Doping Kebangsaan yang mendapat akreditasi WADA di Malaysia bagi memperkukuh aspek keselamatan logistik, mempercepat tempoh penghantaran serta menjamin rantaian kawalan sampel.
Sebagai langkah sementara, beliau turut mencadangkan pewujudan pusat pengumpulan dan penyimpanan sampel berkeselamatan tinggi yang dilengkapi ciri keselamatan termasuk pelekat keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), kawalan akses dan rekod digital.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan penting bagi memastikan integriti sampel terus terpelihara serta mengurangkan risiko gangguan atau sabotaj sepanjang proses pengendalian dan penghantaran.
Beliau berharap ketiga-tiga perkara berkenaan dapat diberi perhatian serius oleh KBS dalam usaha memastikan pembangunan sukan negara terus diperkukuh menerusi tadbir urus yang adil, telus dan berintegriti.-EDISI UKAS