Belanjawan 2027: Bantuan Tambahan Diharap Tingkat Kuasa Beli
KUCHING: Belanjawan 2027 diharap dapat memberi perhatian kepada penambahan bantuan bagi golongan kurang berkemampuan dalam usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan tempatan.
Pengusaha tekstil, Dr Shajahan Syed Ahmad berkata, bantuan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah penting bagi membantu mereka menampung keperluan asas, selain memberi ruang untuk berbelanja bagi keperluan lain.
Menurutnya, peningkatan kuasa beli dalam kalangan rakyat secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada peniaga apabila perbelanjaan kembali beredar dalam ekonomi tempatan.
“Kadang-kadang mereka susah untuk membeli makanan dan beras.
“Kerajaan boleh tambah peruntukan supaya ada lebih dalam tangan mereka untuk berbelanja, termasuk membeli kain dan keperluan lain.
“Jadi perniagaan kita pun boleh naik taraf dan meningkat semula,” katanya ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Selasa.
Dr Shajahan menambah, peningkatan bantuan kepada golongan yang memerlukan bukan sahaja dapat meringankan beban kos sara hidup, malah berpotensi mewujudkan kesan limpahan kepada sektor perniagaan menerusi peningkatan perbelanjaan pengguna.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan turut mengambil kira cabaran yang dihadapi perusahaan kecil, khususnya peningkatan kos operasi dalam merangka langkah berkaitan gaji dan kos menjalankan perniagaan.-EDISI UKAS