Jentera Wanita PBB Perkemas Gerak Kerja Hadapi PRN
KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperkemas struktur dan gerak kerja jentera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, khususnya dalam mengenal pasti pengundi baharu serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggotanya.
Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persiapan awal penting bagi memastikan jentera parti dapat melaksanakan amanah secara tersusun, berstruktur dan cekap, terutama dalam menghadapi pertambahan jumlah pengundi.
“Persiapan untuk pilihan raya tidak boleh dilakukan pada saat-saat akhir. Ia perlu dirancang supaya jentera parti Wanita kita menjadi satu jentera yang tersusun, berstruktur dan cekap dalam memastikan amanah yang diberikan kepada kita dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB Bilangan 6 Penggal 2025-2028 dan Bilangan 3 bagi tahun 2026 di Ibu Pejabat PBB Sarawak di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pelbagai program yang dilaksanakan sebelum ini seperti Kamek Prihatin, Kitak Penting, Simpulan Kasih, Sarawak Kita Empun serta Program Sarawakku Sayang menjadi platform untuk mendekati rakyat.
Program berkenaan turut membantu meningkatkan pengetahuan jentera mengenai kemajuan dan pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan kefahaman dan kemahiran jentera menerusi taklimat Polling Agent and Counting Agent (PACA) serta perkongsian berkaitan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.
Dato Sri Fatimah berkata, PRN akan datang memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi berikutan pertambahan jumlah pengundi termasuk golongan muda dan mereka yang sebelum ini belum berdaftar sebagai pengundi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Wanita PBB supaya terus memperkemas struktur dan gerak kerja, menilai kekuatan setiap cawangan dan ranting, mengenal pasti pengundi baharu serta memperkukuh hubungan dengan keluarga dan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Wanita PBB berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak dan komited memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh mandat lebih besar berbanding pilihan raya lalu.
“Majlis Tertinggi Wanita berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier kita dan mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan GPS di bawah kepimpinan Premier kali ini mendapat mandat besar daripada rakyat, lebih besar daripada pilihan raya yang lalu,” katanya.
Beliau turut menekankan kekuatan wanita yang teliti, tekun, sabar serta dekat dengan keluarga dan komuniti perlu diterjemahkan melalui pembentukan jentera yang cekap, tersusun, berilmu, berpengetahuan dan berdisiplin sebelum, semasa serta selepas PRN.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Fatimah berkata, Wanita PBB berharap lebih ramai wanita diberi peluang bertanding pada PRN akan datang dan seterusnya menjadi wakil rakyat, namun pemilihan calon perlu berasaskan kaliber, merit serta kebolehmenangan.
Turut hadir, Ketua Penerangan Datin Esther Mujan Balan, Penolong Bendahari Natasha Nasa Datuk Amar Douglas Uggah, Penolong Ketua Penerangan Dayang Noorazah Awang Sohor serta Ahli Majlis Tertinggi Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS