19 Tahun Menanti, Qariah Sarawak Kembali Galas Cabaran Malaysia
KUALA LUMPUR: Selepas hampir 19 tahun, Sarawak kembali melakar sejarah apabila qariahnya, Nur Syakura Mohamad Musa bakal menggalas cabaran Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-66.
Nur Syakura akan beraksi pada MTHQA 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Guru Al-Quran (GAQMIS) di Pusat Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) telah menjalani latihan intensif selama beberapa bulan sebagai persiapan menghadapi pertandingan berprestij itu.
Penyertaan Nur Syakura sekali gus meneruskan legasi qariah Sarawak di pentas antarabangsa selepas Allahyarhamah Amnah Ayup muncul Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2007.
MTHQA Ke-66 yang bertemakan ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara, masing-masing 25 peserta bagi kategori Tilawah dan Hafazan Al-Quran.
Selain Nur Syakura, Malaysia turut diwakili Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali bagi kategori Tilawah, manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam bagi kategori Hafazan Al-Quran.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyertaan Nur Syakura bukan sahaja membawa harapan negara, malah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia khususnya warga Sarawak.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar Nur Syakura dikurniakan ketenangan dan kelancaran bacaan serta mencapai kejayaan cemerlang pada MTHQA kali ini.
Turut hadir memberikan suntikan semangat dan amanat dalam pertemuan tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Haji Misnu Haji Taha, Setiausaha MIS merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Tuan Haji Mu’al Haji Suaud, Imam Besar Sarawak, Dato Haji Mustapha Kamal Haji Ahmad Fauzi serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), Tuan Haji Mohamad Shalahudin Marzuki.-EDISI UKAS