2,635 Hektar Tanah Kerajaan Negeri Diwartakan Untuk Penanaman Padi
KUCHING: Sarawak memperkukuh jaminan pengeluaran padi jangka panjang dengan mewartakan 2,635 hektar tanah Kerajaan Negeri khusus untuk penanaman padi, selain mengenal pasti lebih banyak kawasan berpotensi bagi memperluas pengeluaran komoditi itu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketersediaan tanah yang mencukupi untuk menyokong pembangunan industri padi negeri.
“Kita juga akan mengenal pasti 12,000 hektar kawasan penanaman padi sedia ada, termasuk skim yang tidak digunakan, melalui pengurusan air, mekanisasi dan pengurusan ladang yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dalam ‘Sarawak Rice Convention (SARICON) II’ yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi memberitahu, sebanyak 144 hektar tanah Kerajaan Negeri telah diperuntukkan bagi pengeluaran benih, dengan dua syarikat sedang membangunkan ladang benih serta sebuah kemudahan pemprosesan yang kini hampir siap.
Menurut beliau, benih diperakui yang dihasilkan secara tempatan dijangka mula diperoleh pada 2027.
Selain itu katanya, percubaan terhadap pelbagai varieti padi merekodkan hasil antara empat hingga 10 tan metrik sehektar dalam keadaan percubaan, manakala penilaian terhadap padi hibrid dan padi saka sedang dijalankan.
Tambahnya, penyelidikan turut meliputi pengurusan tanaman, automasi dan teknologi lepas tuai, manakala penanaman ‘proof-of-concept’ melibatkan 10 syarikat telah menghasilkan kira-kira 960 tan metrik padi antara Januari hingga Jun 2026. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie