Sarawak Teroka Penghasilan Beras Rendah Karbohidrat
KUCHING: Sarawak mahu penyelidikan pengeluaran padi turut memberi tumpuan kepada pembangunan varieti beras lebih sihat dan rendah karbohidrat sebagai usaha menyokong tahap kesihatan masyarakat serta mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, saintis dan penyelidik perlu meneroka penghasilan beras seperti beras basmathi atau varieti yang mempunyai kandungan karbohidrat lebih rendah.
“Sebab sekarang pun dari sudut kesihatan, kalau nasi terlalu banyak karbohidrat, ia boleh membawa kepada masalah baharu, iaitu kencing manis.
“Tapi kalau kita dapat mengeluarkan beras seperti beras basmati ataupun beras yang kurang karbohidrat, saya fikir rakyat Malaysia akan lebih sihat.
“Mereka tidaklah mengalami masalah kencing manis. Mudah-mudahan kita dapat menghasilkan makanan yang sihat dan Malaysia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan makanan yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ‘Sarawak Rice Convention (SARICON) II’ di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam memodenkan pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran padi.
Ujarnya, teknologi penderiaan jauh dengan kamera yang digabungkan dengan AI boleh membantu mendapatkan maklumat serta menguruskan ladang dengan lebih berkesan.
Justeru, beliau berharap para pakar dan saintis meneroka potensi berkenaan serta mengemukakan cadangan yang boleh disesuaikan dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi dan memodenkan pengurusan tanaman.
“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah konvensional kerana kita perlu meningkatkan hasil sehektar dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan para petani kita,” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Penasihat Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datu Sirai Daha serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie