Pickle Pad Beri Nafas Baharu Miri Waterfront, Galak Gaya Hidup Aktif
MIRI: Pembukaan Pickle Pad di Miri Waterfront Commercial Centre memberi nafas baharu kepada ruang bandar menerusi konsep guna semula adaptif, sekali gus menyediakan kemudahan sukan yang menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk bermain pickleball malah menjadi platform interaksi masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dalam suasana sihat.
Menurut beliau, pickleball semakin mendapat sambutan kerana mudah dipelajari dan boleh dimainkan oleh pelbagai golongan sekali gus membantu mengeratkan hubungan komuniti.
“Daripada perspektif Majlis Bandaraya Miri, kami mengalu-alukan inisiatif yang menyumbang kepada sebuah bandar yang lebih aktif dan berorientasikan masyarakat.
"Sektor awam dan swasta masing-masing mempunyai peranan, namun apabila bekerjasama, kita dapat mewujudkan ruang yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika merasmikan pembukaan Pickle Pad di sini pada Rabu.
Beliau menambah, penggunaan semula ruang sedia ada sebagai kemudahan sukan merupakan pendekatan menarik dalam memenuhi keperluan masyarakat tanpa perlu membangunkan ruang baharu.
Katanya, Pickle Pad juga mampu merancakkan kawasan Miri Waterfront dengan menarik lebih ramai masyarakat menjalankan aktiviti riadah dan sukan.-EDISI UKAS