SARIKEI: Prestasi pelaksanaan 90 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) menunjukkan perkembangan positif dengan sebahagian besar projek dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Pengerusi RADDA, Datuk Len Talif Salleh, berkata kemajuan itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan projek di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Dalat, Kuala Rajang, Meradong dan Repok.
“Perbezaan jumlah projek antara DUN adalah berdasarkan keperluan pembangunan di setiap kawasan, namun secara keseluruhannya pelaksanaan projek berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Cek Pampasan Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu, Bukit Kinyau, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pemantauan terhadap projek dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemajuan kerja terus selaras dengan perancangan dan jadual yang ditetapkan.
Daripada keseluruhan 90 projek yang diluluskan, katanya, terdapat beberapa DUN yang telah melaksanakan sejumlah besar projek sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam pelaksanaan keseluruhan inisiatif RADDA.
Bagaimanapun, Len Talif berkata, terdapat beberapa projek yang masih belum memasuki peringkat pelaksanaan fizikal kerana memerlukan penyelesaian urusan berkaitan kelulusan tapak dan aspek teknikal terlebih dahulu.
Katanya, penyelesaian perkara berkenaan penting bagi memastikan semua keperluan asas dipenuhi sebelum kerja di tapak dimulakan, sekali gus membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih teratur.
Sehubungan itu, beliau berkata, RADDA akan terus memantau perkembangan setiap projek serta mengenal pasti sebarang kekangan yang timbul untuk tindakan susulan segera, bagi memastikan perkara berkenaan tidak menjejaskan kemajuan keseluruhan pelaksanaan projek.-EDISI UKAS