PAWE Platform Warga Emas Kekal Aktif, Erat Silaturahim
LIMBANG: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) terus menjadi platform penting bagi golongan warga emas untuk kekal aktif, meningkatkan kesejahteraan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penglibatan warga emas dalam pelbagai aktiviti PAWE dapat membantu meningkatkan kesihatan selain memberi ruang kepada mereka berinteraksi bersama rakan sebaya.
“Kita memang menggalakkan golongan warga emas mendaftar sebagai ahli. Kita menghimpunkan warga-warga emas supaya dapat berinteraksi dengan rakan-rakan dan dapat juga mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kesihatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Citra Minda Intergenerasi sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Bahagian Limbang di Dewan Suarah Limbang, pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berharap PAWE Limbang terus dikekalkan sebagai pusat aktiviti yang menyediakan pelbagai program bermanfaat kepada golongan warga emas.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti warga emas di Limbang.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk senam chair-aerobik, pertandingan masakan pulut kuning dan pertandingan gubahan buah.
Pelbagai agensi turut membuka reruai bagi menyediakan maklumat serta perkhidmatan kepada golongan warga emas. -EDISI UKAS