Kajian CPS Belaga, Koyan Didahului Upacara Mecut Daleh
BELAGA: Kajian kebolehlaksanaan Cascading Power Sources (CPS) di Sungai Belaga dan Sungai Koyan akan didahului upacara Mecut Daleh atau Doa Pemberkatan sebagai sebahagian daripada pematuhan adat sebelum kerja-kerja kajian dilaksanakan.
Bagi memastikan perkara berkenaan difahami oleh pihak berkepentingan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) mengadakan taklimat berkaitan keputusan dan resolusi adat di Dewan Matahari Hall, Bakun HEP, pada Rabu.
Taklimat berkenaan turut memberi penerangan mengenai proses Mecut Daleh serta sesi libat urus yang telah dan sedang dilaksanakan antara MUT, SEB dengan pihak berkepentingan, termasuk komuniti Belaga dan Sungai Asap berhubung cadangan Kajian Kebolehlaksanaan CPS.
Wakil MUT, Augustine Dominic Minggu berkata, penerangan tersebut penting bagi memastikan pihak berkepentingan memahami proses yang perlu dilalui sebelum kerja-kerja kajian kebolehlaksanaan CPS di kedua-dua sungai berkenaan dilaksanakan.
Sementara itu, wakil Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Nicholas Jok memberi penerangan mengenai aspek adat berkaitan pelaksanaan Mecut Daleh.
Mecut Daleh merupakan upacara pemberkatan yang perlu dilaksanakan sebelum kerja-kerja Kajian Kebolehlaksanaan CPS Sungai Belaga dan Sungai Koyan dijalankan.
Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah kemudian membuat rumusan keseluruhan taklimat, yang turut disusuli sesi soal jawab bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara berkaitan.
Menurutnya, kefahaman bersama mengenai aspek adat, proses libat urus dan keperluan sebelum kajian dilaksanakan penting bagi memastikan setiap langkah diambil dengan mengambil kira kepentingan serta pandangan pihak berkepentingan.
Tarikh pelaksanaan upacara Mecut Daleh bagi Sungai Belaga dan Sungai Koyan bagaimanapun akan dimaklumkan kemudian.-EDISI UKAS