Pempengaruh Media Sosial Digalak Hasilkan Kandungan Positif
SIMANGGANG: Pempengaruh media sosial di Sarawak, digalak menghasilkan kandungan positif yang mengetengahkan keunikan, potensi serta produk tempatan di kawasan masing-masing.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, pempengaruh boleh memainkan peranan dalam mempromosikan lokasi pelancongan menarik, produk tempatan serta pelbagai keistimewaan yang terdapat di kawasan masing-masing.
“Pempengaruh media sosial di Sri Aman misalnya boleh mengetengahkan kandungan positif berkaitan buaya Sungai Batang Lupar, Pesta Benak, produk ikan bulu dan sebagainya yang boleh menarik perhatian penduduk.
“Usaha mengangkat kawasan masing-masing melalui kandungan seperti itu adalah amat baik berbanding mengetengahkan kandungan sensasi yang boleh mencalar hati insan lain dan seterusnya menjejaskan identiti diri mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Randau Bersama Rakan UKAS 2026 melibatkan pempengaruh dari Sri Aman, Betong, Serian dan Kota Samarahan di ‘Sri Aman Digital Innovation Hub’, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Awang Putrayusrie mengalu-alukan pempengaruh media sosial menggunakan bahan daripada laman web UKAS untuk menghasilkan kandungan masing-masing tanpa perlu membuang ‘watermark’ agensi pada bahan berkenaan.
Katanya, UKAS juga sedang mengenal pasti individu berbakat dalam bidang tersebut untuk dijadikan rakan UKAS dalam menghasilkan kandungan positif mengenai Sarawak di media sosial.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pempengaruh supaya menggunakan sumber yang sahih ketika menghasilkan kandungan berkaitan pembangunan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Seksyen Komunikasi Korporat UKAS, Peter Sibon, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Isu UKAS, Mezalynna Matasim, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin dan Pegawai UKAS Bahagian Serian, Maria Acher.
Seramai 45 pempengaruh media sosial dari Sri Aman, Betong, Serian dan Samarahan menghadiri majlis berkenaan secara bersemuka dan maya. -EDISI UKAS