KUCHING: Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlanjutan sehingga Februari 2027 dengan tumpuan terhadap pengurusan bekalan air serta risiko kebakaran dan jerebu.
Penolong Pengarah Gerakan dan Pengurusan Bencana, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Sahamran Ibrahim berkata, keadaan panas dan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan penyusutan sumber air, selain meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan pembakaran terbuka.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa memantau perkembangan situasi berdasarkan laporan agensi teknikal bagi membolehkan tindakan awal dilaksanakan.
Katanya, pusat kawalan operasi bencana di peringkat daerah, bahagian dan negeri turut diaktifkan, termasuk Pusat Kawalan Operasi Bencana Sarawak yang beroperasi 24 jam bagi memantau keadaan di lapangan serta menyelaras tindakan agensi berkaitan.
“Pihak JPBNS juga telah mempersiapkan tahap kesedaran di peringkat daerah.
"Kita aktifkan pusat kawalan operasi bencana di peringkat daerah, seterusnya pusat kawalan operasi bencana di peringkat bahagian dan seterusnya di peringkat negeri yang kita kenali sebagai Pusat Kawalan Operasi Bencana Sarawak, kita aktifkan 24 jam," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Rabu.
Beliau menambah, pemantauan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan yang berdepan kekurangan bekalan air dengan tindakan bantuan diselaraskan bersama agensi berkaitan termasuk penghantaran lori tangki dan bekalan air mineral.
Ujarnya lagi, kerajaan negeri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut melaksanakan operasi pembenihan awan bagi membantu meningkatkan kapasiti sumber air di loji rawatan air dan empangan utama.
“JPBNS dengan kerjasama pihak NADMA membuat operasi pembenihan awan. Operasi pembenihan awan ini, fokus utamanya adalah untuk memastikan kapasiti air sama ada di loji rawatan air dan di empangan utama kita ini dalam keadaan mencukupi," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering bagi mengurangkan risiko kebakaran serta jerebu.-EDISI UKAS