KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Institute of Contemporary Leadership (ICL) di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.
Kunjungan tersebut diketuai Pengerusi ICL, Emeritus Professor Dato’ Abang Abdullah Abang Ali, bagi berkongsi perkembangan serta hala tuju institut dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan kontemporari di Sarawak.
Antara perkara yang diketengahkan ialah perkembangan Professional Certificate in Contemporary Leadership (PCCL), termasuk kohort ketiga yang menamatkan program di Markfield, United Kingdom pada 19 September lalu.
Kohort berkenaan turut mendapat pendedahan menerusi kerjasama strategik dengan Oxford Character Project di Department of Politics and International Relations, University of Oxford, selain penyertaan peserta dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan Filipina.
Dalam perkembangan sama, ICL turut memaklumkan perancangan beberapa inisiatif baharu berkaitan pembangunan kepimpinan, termasuk usaha merealisasikan Sarawak sebagai Hab Pelancongan Kepimpinan Global serta penganjuran program kepimpinan khusus untuk golongan belia dan komuniti.
Di samping itu, langkah memperkukuh kerjasama strategik bersama Leadership Institute for Sarawak Civil Service (LISCS) dan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) terus diperkasakan bagi memantapkan lagi ekosistem kepimpinan di negeri ini.
Turut hadir Trustee Institute of Contemporary Leadership (ICL) Professor Dr Dayang Affizzah Awang Marikan, Ketua Pegawai Eksekutif Leadership Institute for Sarawak Civil Service (LISCS) Datu Dr Mohd Azhar Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Fredrick.- EDISI UKAS