KANOWIT: Sebanyak 37 jawatankuasa, persatuan dan kelab di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 2 Tahun 2026 berjumlah RM304,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, peruntukan itu merupakan tambahan kepada MRP Fasa 1 yang disalurkan pada Mei lalu membabitkan 88 penerima dengan jumlah RM896,000.
Menurut beliau, penyaluran tersebut merupakan pusingan kesepuluh MRP yang disalurkan kepada masyarakat di kawasan Ngemah sejak beliau menjadi wakil rakyat pada 2021.
“Bantuan yang diberikan ini diharap dapat membantu menyelesaikan sebahagian daripada keperluan dan masalah masyarakat di kawasan Ngemah.
“Saya berharap penerima dapat menggunakan peruntukan ini sebaik-baiknya serta memastikan setiap penggunaannya dilaporkan secara telus kepada masyarakat yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek MRP DUN Ngemah di sebuah restoran di Pekan Kanowit pada Selasa.
Dalam pada itu, Anyi berkata, beliau telah membuat persediaan untuk membangkitkan beberapa perkara berkaitan pelan pembangunan DUN Ngemah pada Persidangan DUN Sarawak yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini.
“Saya telah bersedia dengan beberapa persoalan yang akan dibangkitkan, khasnya mengenai pelan pembangunan DUN Ngemah,” katanya.-EDISI UKAS