RUU Penjagaan Warga Emas Di Fasa Akhir, Perlindungan Bakal Diperkukuh
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini berada di fasa akhir memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penjagaan warga emas bagi memperkukuh perlindungan golongan berkenaan daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, proses penggubalan RUU itu mengambil masa bagi memastikan konsultasi komprehensif dilaksanakan menerusi pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society.
Menurut beliau, proses libat urus melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta tinjauan awam bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
“Proses libat urus ini memerlukan masa bagi meneliti pelbagai cadangan baharu daripada pemegang taruh supaya RUU yang dihasilkan benar-benar komprehensif, sesuai dengan keperluan semasa dan paling utama, boleh dilaksanakan secara teratur,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Mengulas mengenai sokongan kepada penjaga keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Dato’ Sri Nancy berkata KPWKM berpegang kepada prinsip penjagaan berasaskan keluarga dan penuaan setempat.
Katanya, keluarga kekal sebagai benteng utama dalam penjagaan warga emas, manakala kemasukan ke institusi hanya menjadi pilihan terakhir.
Bagi membantu penjaga, pelbagai bentuk sokongan disediakan termasuk perkhidmatan rawatan domisiliari dan penjagaan paliatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), insentif pengubahsuaian rumah mesra warga emas oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), diskaun tambang pengangkutan awam sehingga 50 peratus serta Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan bagi yang layak.
Selain itu, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan sokongan psikososial menerusi Program Keibubapaan Datuk Nenek (Grandparenting), terapi kesunyian, Program Ritma Kehidupan Harmoni (Rhythm) dan perkhidmatan Ziarah Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang merangka Draf Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (National Ageing Blueprint - NAB) sebagai panduan strategik dalam menghadapi status Malaysia sebagai negara tua.
KPWKM turut menyasarkan latihan kemahiran dan kompetensi secara bersasar kepada 2,000 penjaga tahun ini menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) bagi memprofesionalkan perkhidmatan penjagaan warga emas di negara ini.-EDISI UKAS