Kerjasama Rentas Borneo Pacu Ekonomi Lebih Bersepadu
KUCHING: Kerjasama dan koordinasi lebih erat antara Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei Darussalam penting bagi membentuk ekonomi Borneo yang lebih bersepadu serta membuka peluang pertumbuhan baharu di rantau ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekuatan dan sumber yang dimiliki setiap wilayah perlu dimanfaatkan secara saling melengkapi bagi mewujudkan nilai ekonomi lebih besar untuk Borneo.
“Dengan bekerjasama lebih rapat merentasi Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei Darussalam, kita boleh menghubungkan infrastruktur, industri, pasaran dan keupayaan kita serta membina rantaian nilai serantau yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 2nd Borneo Economic Forum di sini pada Rabu.
Tambah beliau, pembangunan ekonomi Borneo perlu dilihat secara lebih bersepadu dengan menghubungkan pengeluaran, logistik, sumber, teknologi dan pasaran.
“Ini yang dimaksudkan dengan ekonomi Borneo yang bersepadu, bukan satu pusat industri untuk seluruh pulau, tetapi pusat kecemerlangan yang berbeza dan bekerjasama untuk mewujudkan nilai lebih besar bagi Borneo,” katanya.
Menurut beliau, usaha berkenaan memerlukan perancangan yang diselaraskan serta kerjasama kukuh antara kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan potensi ekonomi Borneo dapat direalisasikan sepenuhnya.
Turut hadir, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional (PPN) Indonesia Rachmat Pambudy, Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara Basuki Hadimuljono, Timbalan Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Negara Brunei Darussalam Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir