Sektor Swasta Digesa Teroka Peluang Ekonomi Seluruh Borneo
KUCHING: Sektor swasta tempatan digesa memperluas pasaran melangkaui sempadan sedia ada dengan meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di seluruh Borneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor swasta merupakan enjin pertumbuhan yang penting dalam memacu aktiviti ekonomi dan pembangunan negeri.
Menurut beliau, masa depan Sarawak tidak boleh dibangunkan oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Sektor swasta berperanan membawa modal dan teknologi, mewujudkan pekerjaan serta membangunkan kilang, ladang dan pusat data yang menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi.
“Forum ini penting dalam menghimpunkan komuniti perniagaan dan menggalakkan sektor swasta melihat peluang ekonomi merentasi sempadan wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 2nd Borneo Economic Forum di sini,l pada Rabu.
Tambah beliau, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan pelabur perlu diperkasa bagi mengenal pasti peluang serta membina perkongsian yang dapat meningkatkan perdagangan, pelaburan dan hubungan ekonomi di Borneo serta pasaran luar.
Turut hadir, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional (PPN) Indonesia Rachmat Pambudy, Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara Basuki Hadimuljono, Timbalan Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Negara Brunei Darussalam Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir