Sarikei Terima 378 Lampu Jalan Menerusi Projek Bernilai RM3.25 Juta
SARIKEI: Sebanyak 378 unit lampu jalan bernilai keseluruhan RM3.25 juta telah dipasang di beberapa laluan sekitar Sarikei bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselamatan pengguna jalan raya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan pemasangan 140 unit lampu jalan di Jalan Kwong Ming/Minah bernilai RM1.27 juta, 168 unit di Jalan Meruton/Merudu bernilai RM1.52 juta serta 70 unit di Jalan Hua Ee yang telah selesai dipasang dengan kos RM460,000.
“Usaha memperluas kemudahan infrastruktur seperti pencahayaan jalan merupakan antara aspek penting dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan masyarakat, khususnya pengguna yang melalui laluan berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 bagi kawasan Sarikei, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40), golongan muda dan warga emas mendapatkan lesen memandu secara sah tanpa terbeban dengan kos yang tinggi.
Katanya, bantuan itu dapat meringankan beban kewangan masyarakat yang sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat mendapatkan lesen memandu.
“Kita memahami bahawa kos untuk mendapatkan lesen memandu bukanlah kecil, malah boleh menjadi beban kewangan kepada sesetengah keluarga.
“Terdapat dalam kalangan masyarakat yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki lesen memandu disebabkan kekangan kewangan,” katanya lagi.
Menurut beliau, pemilikan lesen memandu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah dapat meningkatkan keyakinan, memperluas mobiliti serta membantu penerima menguruskan keperluan harian dengan lebih mudah dan berdikari.
Beliau turut mengingatkan penerima supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap berdisiplin dan berhemah serta mengutamakan keselamatan, khususnya dengan memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Pada majlis sama, beliau turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada Kelab Sukan Rekreasi Jabatan Pengangkutan Sarikei bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat, wakil Residen Bahagian Sarikei, Azryn Naim Zolkefli, wakil Pegawai Daerah Sarikei, Seah Han Rong dan wakil Ketua Polis Daerah Sarikei, ASP Mohd Alime Mazlan Abdul Rahman. -EDISI UKAS