Sukaneka, Sajian Tradisional Satukan Komuniti Matu & Igan
MATU: Gabungan aktiviti sukaneka dan sajian tradisional mewarnai Karnival Sukaneka Daerah Matu 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya meninjau beberapa aktiviti yang berlangsung menerusi karnival berkenaan, termasuk pertandingan sepak takraw di Igan serta badminton dan bola sepak di Matu, pada Sabtu.
Selain pertandingan sukan, karnival itu turut mengetengahkan keunikan warisan tempatan menerusi Sajian Tupik Sey, demonstrasi pembuatan cili sos dan sekiu di Kampung Bawang serta pertandingan masakan warisan di Kampung Tian.
Pengisian berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk memperkenalkan sajian, tradisi dan kemahiran tempatan kepada generasi muda, selain memastikan warisan yang diwarisi terus dikenali dan dihargai.
Kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan juga menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan rekreasi, sekali gus memupuk gaya hidup aktif serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti.
Karnival berkenaan menjadi platform menghimpunkan masyarakat Matu dan Igan dalam suasana santai menerusi aktiviti yang menggabungkan elemen sukan, budaya dan warisan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat. -EDISI UKAS