Makanan Tradisional Melanau Berpotensi Menjadi Produk Ekonomi
DALAT: Makanan tradisional Melanau seperti umai, sagu, tebaloi dan linut berpotensi dikembangkan sebagai produk ekonomi serta tarikan pelancongan, selain terus dipelihara sebagai warisan budaya masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, makanan tradisional berkenaan bukan sekadar hidangan turun-temurun, malah mencerminkan identiti dan kebijaksanaan masyarakat Melanau dalam memanfaatkan sumber alam.
“Pengusaha tempatan perlu mengambil peluang daripada keunikan makanan tersebut untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus memperkenalkannya kepada pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Makanan Tradisional Melanau Daerah Dalat 2026, di sini pada Sabtu.
Bagi meningkatkan daya saing produk tempatan, beliau menggalakkan pengusaha supaya memperbaiki kualiti produk, menjaga kebersihan dan keselamatan makanan serta memperkemas pembungkusan agar memenuhi keperluan pasaran.
Penggunaan platform digital dan inovasi dalam penghasilan produk juga perlu dimanfaatkan untuk memperluas pasaran, tanpa mengabaikan keaslian dan nilai tradisi makanan Melanau.
Menyentuh perkembangan pembangunan kawasan Dalat, beliau memberitahu projek menaik taraf Market Dalat dijadualkan bermula pada 30 November 2026 hingga 30 November 2027.
“Projek itu merangkumi penambahan lot kedai daripada tujuh kepada 12 lot, pembinaan sebuah kafe baharu, penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih luas serta penambahan kaunter jualan basah daripada 12 kepada 14 kaunter,” ujarnya.
Selain itu, Dato Sri Fatimah mendedahkan pembangunan Pusat Komersial Oya yang merangkumi lapan lot kedai berbentuk kotej untuk peniaga wanita dan 12 lot komersial berstrata kini dalam proses pemuktamadan pelan pindaan sebelum dikemukakan untuk pengesahan dan kelulusan pihak berkenaan.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Mukah, Mohammad Madzihi Mohd Musu, Temenggong Bahagian Mukah, Hendi Suhai dan Pemanca Daerah Dalat, Peter Lai Sakul. -EDISI UKAS