Pembangunan Sedekad Sarawak Perluas Peluang Ekonomi, Manfaat Kepada Rakyat
KUCHING: Pembangunan Sarawak sepanjang sedekad lalu menyaksikan pelbagai perubahan dalam sektor ekonomi, infrastruktur, tenaga dan pendidikan, sekali gus memperluas peluang ekonomi serta meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan dan perkhidmatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian berkata, perubahan yang berlaku antara 2016 hingga 2026 dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan, penubuhan institusi strategik serta penyediaan kemudahan baharu untuk rakyat.
Menurut beliau, antara perkembangan utama ialah penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Development Bank of Sarawak Berhad (DBOS), AirBorneo serta pengenalan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“10 tahun dahulu, Sarawak berbeza daripada sekarang. Kini, banyak perkembangan yang dapat kita lihat, termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Development Bank of Sarawak Berhad (DBOS), AirBorneo, skim pendidikan tinggi percuma (FTES), bantuan kepada pelajar serta pelbagai kemudahan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden SUPP berkata, pembangunan infrastruktur termasuk kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi di seluruh Sarawak.
Pada masa sama, pelbagai inisiatif dalam sektor pendidikan, perumahan dan kesihatan serta langkah mengurangkan beban bil elektrik diperkenalkan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan FTES dan bantuan pendidikan kepada pelajar merupakan antara usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, selain menyediakan peluang kepada generasi muda meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kesinambungan perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memperkukuh ekonomi Sarawak, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai;l serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing.-EDISI UKAS