Pickleball Eratkan Hubungan Kerja Warga Perkhidmatan Awam
KOTA SAMARAHAN: Aktiviti pickleball sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan menghimpunkan ketua jabatan dan penjawat awam dalam kegiatan riadah bersama, di sini pada Ahad.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang turut menyertai acara berkenaan.
Program anjuran bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Samarahan itu memberi peluang kepada penjawat awam berinteraksi dalam suasana tidak formal, di luar urusan harian pejabat.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif, aktiviti tersebut turut membuka ruang kepada warga perkhidmatan awam daripada pelbagai jabatan untuk saling mengenali dan membina hubungan kerja yang lebih baik.
Interaksi di luar persekitaran rasmi pejabat juga dapat membantu memudahkan komunikasi serta kerjasama antara jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Profesor Dr Cassidy Morris, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak. -EDISI UKAS
Foto: Ibanez Jeffery Guang & Natalie Cherinie Johnny