Datuk Amar Awang Tengah Lawat Projek Pembangunan Di Lawas
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan melibatkan kemudahan awam dan penempatan penduduk di Lawas pada Rabu.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke projek pembinaan baharu surau di Kampung Sinampuan Lama sebelum beliau menghadiri sesi taklimat Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi Kampung Tanjung Katung, Kampung Sebelah dan Kampung Aru.
Beliau kemudian meneruskan lawatan dengan meninjau projek pembinaan baharu dewan di Kampung Aru.
Pelaksanaan projek berkenaan akan menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk, selain menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan, kemasyarakatan serta program komuniti.
Sementara itu, SPK berperanan menyediakan perancangan penempatan yang lebih teratur, sekali gus meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk di kawasan terlibat.
Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.-EDISI UKAS