Debak Jadi Tumpuan Kejohanan Futsal Datuk Razi Cup 2026
DEBAK: Debak bakal menjadi tumpuan peminat sukan futsal apabila Futsal Open Datuk Razi Cup Edisi Ke-8 2026 berlangsung di Riveria Sport Centre pada 24 dan 25 Oktober ini.
Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Saribas dengan kerjasama Debak Frenz Futsal Club itu dijangka menghimpunkan pasukan dari sekitar Sarawak, sekali gus menyediakan medan persaingan untuk pemain menyerlahkan bakat dan keupayaan masing-masing.
Juara kejohanan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala dan medal, manakala naib juara menerima RM3,000 serta piala dan medal.
Dua pasukan yang menduduki tempat ketiga bersama pula masing-masing akan menerima RM1,000, piala dan medal.
Selain hadiah utama, penganjur turut menyediakan anugerah khas Pemain Terbaik bernilai RM300, Penjaga Gol Terbaik RM200 dan Fairplay Team RM200, masing-masing berserta piala.
Penganjuran kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam.
Kejohanan itu turut menjadi platform untuk menghimpunkan pasukan dari pelbagai kawasan serta memberi ruang kepada pemain baharu mengetengahkan bakat dalam arena futsal.
Bagi pasukan yang berminat menyertai kejohanan, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM400 bagi setiap pasukan dengan deposit RM100, manakala tarikh tutup pendaftaran ialah pada 11 Oktober 2026.
Selain Pusat Khidmat Saribas dan Debak Frenz Futsal Club, kejohanan berkenaan turut mendapat kerjasama RS Defender, JKKK Rumah Dit dan Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Debak (LAKMD).
Pasukan yang berminat dialu-alukan menyertai kejohanan bagi merebut kejuaraan serta hadiah yang ditawarkan pada edisi tahun ini.-EDISI UKAS