Tiga Projek RTP RM550,000 Di Tebedu Siap Untuk Manfaat Penduduk
TEBEDU: Tiga projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM550,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu siap sepenuhnya pada Ogos lalu, sekali gus membuka ruang kepada komuniti setempat memanfaatkan kemudahan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk serta memudahkan akses masyarakat setempat.
“Jalan Pertanian yang telah siap perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong aktiviti pertanian yang berpotensi menjana pendapatan kepada penduduk, termasuk tanaman nanas, kelapa sawit dan kopi.
“Dengan siapnya jalan ini, diharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk aktiviti pertanian yang boleh memberi pendapatan lumayan seperti nanas, kelapa sawit dan juga kopi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan dokumen projek siap berkenaan, di sini pada Rabu.
Projek terbabit melibatkan pembinaan bentang atau gabion sungai di Kampung Tubih Mawang serta pembinaan Jalan Pertanian di Kampung Kuhum Mawang dan Kampung Sejijag Mawang. -EDISI UKAS