RTP RM300,000 Perkasa Kemudahan Nelayan Kampung Luak
MIRI: Kemudahan pendaratan bot di Pasar Nelayan Kampung Luak kini lebih selamat dan teratur susulan siapnya projek pembinaan tempat berlabuh bot bernilai RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan asas sekali gus menyediakan persekitaran lebih selesa kepada nelayan tempatan.
Menurut beliau, projek yang dimulakan pada 16 Julai lalu itu melibatkan pembinaan tempat berlabuh bot baharu yang mampu menampung sehingga 16 bot nelayan dari Kampung Luak dan Kampung Lusut.
Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan keluar masuk bot, malah menyokong kelancaran aktiviti perikanan serta meningkatkan aspek keselamatan nelayan di kawasan tersebut.
“Pasar Nelayan Kampung Luak bukan sahaja merupakan lokasi penting bagi para nelayan menjalankan aktiviti harian, malah mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan penduduk setempat.
“Justeru, peningkatan kemudahan asas di kawasan ini amat penting bagi memperbaiki persekitaran operasi nelayan serta menyokong pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemudahan yang telah siap dibina pada Rabu.
Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta agensi teknikal berkaitan bagi memantau keadaan kemudahan tersebut agar dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh nelayan dan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur di kawasan Piasau akan terus diberi perhatian, termasuk menerusi pelaksanaan projek RTP bagi memenuhi keperluan kemudahan fizikal masyarakat setempat. -EDISI UKAS