LUNDU: Peruntukan kira-kira RM150 juta menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, peruntukan berkenaan diterjemahkan melalui pelbagai projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk jalan kampung dan pertanian, sistem bekalan air, perparitan dan saliran serta kemudahan awam.
Menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan memerlukan penyelarasan berterusan antara GKCDA, agensi pelaksana, Pejabat Daerah, kontraktor dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat.
“Program ini penting untuk kita meneliti status pelaksanaan projek, kemajuan semasa, isu dan cabaran serta menentukan tindakan susulan supaya projek pembangunan di kawasan Opar dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Khas Pembangunan DUN Opar dan Majlis Penyerahan ‘Letter of Award’ (LOA) anjuran GKCDA di Dewan Serbaguna CENTEXS Lundu, di sini pada Rabu.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 12 projek pembangunan baharu GKCDA bernilai keseluruhan kira-kira RM4.34 juta menerima penyerahan LOA kepada kontraktor.
Enam projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) melibatkan kerja menaik taraf jalan pertanian di Munggu Pukuh, Kampung Sebandi Hilir, jalan menuju ke kubur di Kampung Sebandi Ulu, kawasan Sungai Kamis, Kampung Senibong, kawasan Lonsen, Kampung Pasir Hulu, Kampung Biawak serta kawasan Sungai Tubah Kampung Rumih.
Sementara itu, tiga projek di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) melibatkan kerja menaik taraf sistem paip graviti di Kampung Sepadah dan Kampung Tembawang Sauh serta menaik taraf paip graviti Kampung Keranji.
Tiga lagi projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) membabitkan kerja menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Rukam, pembinaan baharu Dewan Serbaguna Kampung Titiakar dan pembinaan baharu Dewan Serbaguna Kampung Bitokan 2.
Billy berkata, GKCDA memainkan peranan penting dalam menyelaras dan memantau pelaksanaan projek selain menjadi platform penyelarasan antara agensi bagi menangani isu dan kekangan yang timbul di lapangan.
Beliau menegaskan setiap projek yang telah diluluskan perlu dimulakan mengikut jadual, mematuhi spesifikasi serta standard ditetapkan, mempunyai kualiti yang baik dan disiapkan dalam tempoh dipersetujui.
“Kita tidak mahu hanya melihat projek diumumkan atau LOA diserahkan. Kita mahu melihat projek dimulakan, dilaksanakan, siap dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan kontraktor yang menerima LOA supaya melihat pelantikan tersebut sebagai amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dengan memastikan aspek kualiti, keselamatan dan tempoh pelaksanaan diberi perhatian.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datuk Ik Pahon Joyik, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Penolong Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin Matamit. -EDISI UKAS