Ekosistem Keusahawanan Penting Pacu Transformasi Digital Dan AI PKS
KUCHING: Pembangunan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh penting dalam memperkukuh keupayaan, daya saing dan kesiapsiagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendepani transformasi digital serta Kecerdasan Buatan (AI).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, ekosistem berkenaan perlu merangkumi aspek pengetahuan, pembangunan keupayaan, jaringan, akses pasaran, pembiayaan serta kerjasama strategik.
Menurutnya, perkembangan teknologi khususnya AI kini mengubah cara perniagaan beroperasi, membangunkan tenaga kerja, berinteraksi dengan pelanggan dan bersaing di pasaran global.
“Bagi usahawan dan PKS, penerapan teknologi perlu dilaksanakan secara praktikal dengan memberi tumpuan kepada nilai sebenar yang boleh dihasilkan serta keupayaan menggunakannya secara berkesan dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SAMENTA Hyperlokal AI Fest & Government-Industry Dialogue 2026 - Kuching Chapter di Auditorium Sarawak Skills, Tabuan, pada Rabu.
Datuk Dr. Ripin berkata, platform yang menghimpunkan PKS, agensi kerajaan, peneraju industri, rakan teknologi dan penyedia pembiayaan itu dapat membantu usahawan memahami peluang serta cabaran pendigitalan perniagaan dengan lebih mendalam.
Katanya, perkongsian pengalaman dan cabaran sebenar komuniti perniagaan turut membolehkan pihak berkepentingan mengenal pasti aspek keupayaan serta akses yang perlu diperkukuhkan.
Dalam konteks Sarawak, beliau menggalakkan PKS memanfaatkan transformasi digital dan AI bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan peluang baharu.
Beliau turut menyeru peserta memanfaatkan platform berkenaan untuk menimba ilmu, berinteraksi dengan agensi dan rakan strategik serta membina jaringan kerjasama yang memenuhi keperluan sebenar perniagaan.
Datuk Dr. Ripin turut merakamkan penghargaan kepada Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) dan SAMENTA Sarawak atas penganjuran program berkenaan dengan sokongan Sarawak Skills serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan industri.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 250 peserta dan menjadi platform interaksi strategik berkaitan hala tuju pendigitalan serta penerapan AI dalam landskap perniagaan semasa.
Turut hadir Pengerusi SAMENTA Sarawak Theophilus Wong, Setiausaha Agung Kebangsaan merangkap Pengerusi Digitalisation & AI SAMENTA, Christopher Ng dan Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri.- EDISI UKAS