Raptai Penuh KAPS Bahagian Samarahan Pastikan Kelancaran Program
ASAJAYA: Persiapan akhir bagi memastikan kelancaran Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Bahagian Samarahan giat dilaksanakan menerusi raptai penuh di Dewan Panca Delima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajah Laila Taib (HALATA) di sini pada Rabu.
Raptai berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan perjalanan majlis, susunan protokol, aspek teknikal pentas serta peranan petugas bagi memastikan program yang dijadual berlangsung pada Khamis dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Program KAPS Bahagian Samarahan akan berlangsung pada 8 Oktober 2026 di lokasi sama dan dijadual disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya dijangka menyampaikan amanat berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pendidikan seksual dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.
Program berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pendidikan seksual yang selamat dan bertanggungjawab berasaskan pengetahuan serta maklumat yang tepat.
Turut hadir, Ketua Unit Transformasi Sosial, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Hasanah Abdul Wahid, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin dan Pengetua SMK Hajah Laila Taib, Syed Ishak Syed Manan. –EDISI UKAS