Pembangunan Infrastruktur Pa Lungan Terus Dipertingkat, Bekalan Air Bersih Siap
MIRI: Pembangunan infrastruktur di Pa Lungan terus dipertingkat dengan projek bekalan air bersih kini siap, manakala kerja menaik taraf jalan sepanjang 12 kilometer sedang dilaksanakan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, kedua-dua projek di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) itu dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan asas serta kualiti hidup masyarakat setempat.
Menurut beliau, projek naik taraf Jalan Pa Lungan kini mencatat kemajuan fizikal 4.7 peratus dan masih mengikut jadual pelaksanaan.
"Saya berharap pihak pelaksana dapat mengekalkan momentum kerja bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut tempoh serta spesifikasi yang ditetapkan.
“Jalan berkenaan penting kepada masyarakat pedalaman kerana menghubungkan penduduk dengan kemudahan pendidikan, kesihatan, aktiviti ekonomi serta kawasan lain di Bario,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena lawatan pemantauan projek ke Pa Lungan pada Selasa.
Sementara itu, projek bekalan air bersih yang telah siap kini memberi manfaat kepada 47 isi rumah di Kampung Pa Lungan, khususnya dalam meningkatkan aspek kesihatan, kebersihan dan kesejahteraan keluarga.
Datuk Gerawat memberitahu, Pa Lungan turut menerima bekalan elektrik menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES), manakala kemudahan telekomunikasi dan capaian digital terus diperkukuh bagi menyokong pendidikan, perhubungan serta aktiviti ekonomi setempat.
“Pembangunan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan masyarakat pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan,” tambahnya. –EDISI UKAS